Tip Keselamatan Penunggang Motosikal.

Tip Keselamatan Penunggang Motosikal.

Tahukah anda, apabila berlaku kemalangan di jalan raya, risiko kematian atau kecederaan serius bagi penumpang motosikal adalah 70 peratus lebih tinggi berbanding pemandu kenderaan lain bagi jarak yang sama? Statistik kemalangan melibatkan penunggang motosikal di negara kita semakin hari semakin membimbangkan. Disenaraikan beberapa tip keselamatan yang perlu diamalkan oleh penumpang dan pembonceng motosikal seperti berikut:

1. Pastikan Motosikal Berada Dalam Keadaan Baik

Sebelum memulakan perjalanan anda, pastikan motosikal yang akan digunakan berada dalam keadaan baik. Lakukan pemeriksaan dan penyenggaraan sebelum menuju ke sesuatu destinasi bagi menjamin keselamatan anda.

2. Pakai Topi Keledar Dengan Kemas

Punca utama penunggang motosikal mengalami kecederaan parah adalah kecuaian memakai topi keledar dengan betul. Pemakaian topi keledar sangat penting untuk melindungi kepala penunggang daripada hentakan apabila terlibat dalam kemalangan. Pastikan anda memilih topi keledar yang sesuai dengan kepala dan memakainya dengan kemas dan teratur. Anda juga dinasihatkan untuk menggunakan topi keledar yang mendapat pengiktirafan piawaian terutamanya bagi ciri keselamatan dan ketahanan.

3. Pakai Pakaian Berwarna Cerah

Pemakaian yang sesuai sangat penting bagi penunggang motosikal agar pengguna jalan raya lain menyedari dan melihat kemunculan anda. Pastikan anda memakai pakaian berwarna cerah dan terang seperti putih, kuning, biru dan sebagainya. Elakkan memakai pakaian berwarna gelap khususnya warna hitam ketika menunggang motosikal pada waktu malam kerana pemandu lain mungkin tidak dapat melihat anda.

4. Pakai Jaket Keselamatan

Pastikan memakai jaket keselamatan berpemantulan cahaya sekiranya anda memakai pakaian berwarna gelap atau menunggang motosikal pada waktu malam. Pantulan cahaya daripada jaket ini akan memudahkan pengguna jalan raya lain untuk melihat anda dan ia mampu mengurangkan risiko berlaku kemalangan.

5. Elakkan Berada Di Kedudukan Titik Buta Kenderaan Lain

Penunggang motosikal perlu sentiasa mengelakkan titik buta pemandu kenderaan semasa memintas mereka. Hal ini kerana pemandu kenderaan besar seperti lori dan
bas tidak boleh melihat dan tidak sedar kewujudan anda sekiranya anda memotong atau mengikuti mereka di titik buta kenderaan.

6. Mengamalkan Jarak Selamat Dengan Kenderaan Lain

Sentiasa pastikan anda mengamalkan jarak yang selamat dengan kenderaan lain khususnya kenderaan berat di jalan raya. Jangan sesekali cuba untuk mencelah kenderaan berat kerana ketika melakukan perbuatan sedemikian anda bukan sahaja membahayakan diri malah melibatkan nyawa pengguna jalan raya lain.

7. Beri Isyarat Setiap Kali Memasuki Simpang

Beri isyarat setiap kali anda ingin memasuki simpang jalan atau menukar lorong supaya kenderaan lain peka dengan tindakan anda. Sentiasa gunakan lampu isyarat dan memberi isyarat awal untuk membelok semasa menukar haluan agar dapat mengelakkan kemalangan.